Saturday, 28 March 2015

Cerpen: Tiba Cinta

Airin sedang sibuk membelek sebuah novel yang berada di tangannya itu. Dia sedang berkira-kira untuk membelinya atau tidak. Jalan ceritanya menarik, nama watak juga sedap di dengar. Tanpa berlengah,Airin membuat keputusan untuk membeli sahaja novel yang bertajuk " Selamanya Mencintaimu " itu.

  Kemudian, Airin bergerak pula ke bahagian novel yang lain. Dia berazam untuk membeli sekurang-kurangnya 2 buah novel untuk menghabiskan waktu hujung minggunya. Kerjayanya sebagai seorang guru tadika membolehkannya untuk berehat pada hujung minggu.

  Dari ekor mata Airin, dia dapat mengesan seorang pemuda sedang asyik merenung dirinya. Entah apa yang tidak kena pun dia tidak tahu. Airin menjadi tidak selesa. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dicucuk mata pemuda itu biar buta macam Kassim Selamat.

Tiba-tiba pemuda tersebut mula bergerak mendekati Airin.

  Airin mulai cemas. Dia mula memasang beberapa strategi apa yang perlu dibuat jika dia di dalam bahaya.

  Adakah dia perlu menjerit meminta tolong ataupun dia perlu membuka langkah silatnya yang sudah bertahun tidak dilatih? Airin membuat riak muka seolah tenang, tetapi dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

Pemuda itu semakin menghampiri Airin.

Tiba-tiba pemuda tersebut bersuara.

    "Assalamualaikum. Hai !"

    "Waalaikumussalam." Airin menjawab salam tersebut tanpa memandang wajah pemuda itu. Kalau tidak dijawab berdosa pula.

    "Alahai. Dah sombong dah Cik Airin Danisya kesayanganku ni. Baru berapa tahun tak jumpa dah buat-buat tak kenal dah. Nak pandang muka kita yang handsome ni pun dia tak nak. "

Airin sudah terkedu.

'Macam mana mamat ni boleh tahu nama penuh aku? Aku pakai nametag ke? Rasanya tak ada. Lepastu mengaku aku kesayangan dia pula tu. Zaman bila aku jadi kesayangan dia ?'

  Perlahan Airin menoleh ke arah pemuda yang sedang berdiri tegak di sebelahnya.
Pemuda itu melemparkan senyuman ikhlasnya.

  Airin membuat riak muka hairannya. Rasanya dia memang mengenali pemuda dihadapannya ini. Tetapi  dimana ya? Puas dia membuka semula segala memori didalam ingatannya.

    "Airin Danisya Zamri a.k.a Kekcaa. Takkan dah tak kenal kita kot? Sedih la macam ni."  Pemuda tersebut menunjukkan riak wajah seakan-akan sedih.

 Papp! Seperti ada satu aliran masuk di dalam otak Airin. Dia teringat sesuatu. Hanya ada seorang sahaja makhluk di muka bumi ini yang akan memanggilnya Kekcaa!

    "Danial ? Serious ke ni Danial ?" Soal Airin seakan tidak percaya.

    "Haaa. Ingat juga akhirnya. Ingatkan dah tak boleh nak ingat dekat adik awak yang handsome ni."

    "Ya Allah! Dah besar panjang dah budak ni ! Macam mana boleh lagi tinggi dari aku ni?"

  Airin sudah dapat mengingati pemuda tersebut. Airin mengakui bahawa dia sangat rindukan pemuda yang berada dihadapannya ini.

    "Eleyy. Kau yang terbantut cakap aku tinggi ! Hahhahaha." Galak sahaja Danial mengenakan Airin.

 Ya, pemuda ini adalah Danial Ayman. Adik angkat Airin Danisya ketika di bangku sekolah dahulu.

   Jarak umur mereka cuma berbeza 2 tahun sahaja. Disebabkan itu juga mereka lebih selesa menggunakan 'kau-aku' ketika berbual. Kadang-kadang sahaja panggilan 'adik-kakak' akan digunakan.

  Mereka terputus hubungan disebabkan oleh keluarga Danial Ayman berpindah ke tempat lain. Sejak itu juga Airin sudah tidak bertemu dengan adik angkatnya itu. Sehinggalah hari ini.

    " Ahh kau. Start lah tu sesi nak menguji kesabaran aku. Dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah."  Geram Airin dengan perangai adik angkatnya yang satu ini.

    "Hahaha. Well, kau seorang je ke kak?"

    "Seorang je la. Maklumlah...."

     "Maklumlah anak dara tua. Hahahahahaha."
Belum sempat Airin menghabiskan kata-katanya, Danial sudah menyambung.

  Geram sungguh rasa hatinya dengan perangai Danial. Ingin sahaja tangannya mencekik budak itu.

    "Hello! For your information, umur aku baru 27 ok! Belum masuk kategori andartu lagi ! "

    "Ahh. Kau tetap lebih tua dari aku  kak."

    " Budak ni kan! " Airin memukul bahu Danial yang agak tegap itu dengan novel yang dipegangnya.

     " Aduh! Kau ni memang hobi nak pukul orang je ke? Dari dulu tak berubah. Aku baru terfikir nak belanja kau makan. Tapi disebabkan kau dah pukul aku, jangan harap lah aku nak belanja kau."
Danial memalingkan wajahnya tanda protes.

    "Eh? Alaaa. Kau nak belanja aku makan ke? Kenapa tak cakap dari awal? Kalau tak, aku dah belai-belai kau macam anak raja tau."

    "Ahh kau! Tak ada maknanya, aku nak merajuk juga."

  Danial memusingkan tubuhnya menghadap rak buku sambil berpura-pura membelek buku yang berada di situ. Dia mahu melihat bagaimana Airin memujuknya kali ini, sudah lama tidak dipujuk, rindu pula rasanya.

    "Alalalala.. Tak mahu lah merajuk-merajuk ni. Tak handsome lah adik 'hakak' kalau merajuk macam ni. Aku pukul sebab mulut tu tak reti nak beli insurans. Nanti aku belikan insurans untuk mulut kau ye adikku sayang. Janganlah merajuk lagi. Belanjalah 'hakakmu' ini. Sesungguhnya 'hakak' kesayanganmu ini sedang kelaparan dan kebuluran. Plizzzz. Intan payung, emas, berlian, mutiara, Habib Jewels !" Airin cuba memujuk Danial.

    'Budak ni memang dari dulu suka sangat nak merajuk. Benda kecil pun nak mrajuk. Macam budak-budak. Lepastu aku jugalah yang kena memujuk. Eishh. Tak faham betullah.' Airin bermonolog dalam hati.

Danial tergelak dengan cara Airin memujuknya.

     "Hahaha. Habib Jewels? Kau dah kenapa kak? Tak ada benda lain ke?"

    "Habistu susah sangat nak pujuk kau. Mana lah sempat aku nak buat karangan dalam otak aku ni. Aku sebut je lah apa yang terlintas."

   "Hahaha. Yela, nasib baik kau pujuk aku. Aku belanja kau makan. Kau pergi bayar dulu novel jiwang kau tu. Aku tunggu dekat luar."

Danial melangkah pergi. Sempat lagi dia mengenakan Airin.


*********************

Airin Danisya sebenarnya seorang yang agak sensitif. Dia cepat juga terasa apabila ada orang bergurau kasar dengannya.

Tetapi entah mengapa apabila gurauan itu datangnya daripada Danial, dia tidak terasa hati langsung. Malah dia pula yang akan mengenakan Danial semula.

Danial membawa Airin masuk ke dalam sebuah restoran. Mereka memesan makanan terlebih dahulu sebelum memulakan perbualan.

    "Kekcaa, kau apa cerita sekarang ek? Asal tak kahwin lagi? Tak laku ke?" Danial memulakan sesi bertukar cerita.

    "Uish kau kan. Ayat yang keluar dari mulut kau kalau tak menyakitkan tulang rusuk aku memang tak sah kan? Kalau jodoh belum sampai lagi kau nak aku buat apa? Takkan nak suruh aku kahwin dengan tiang lampu pula! "

    "Eh ya tak ya juga kan. Tiang lampu pun tak nak la perempuan macam ni buat bini." galak Danial ketawa.

    "Ketawalah, ketawa. Yang kau ni tak kahwin kenapa? Cakap aku konon! Kau pun tak laku juga lah tu!" Airin melancarkan serangannya pula.

    "Eish. Aku bukan tak laku. Sebab terlebih laku lah sampai aku tak tahu yang mana satu aku  nak buat bini. Lagipun aku nak tunggu kau naik pelamin dulu. Sebab orang kata yang tua didahulukan, yang muda dikemudiankan. Kahkahkahkah"

Merah padam muka Airin. Dia tahu, jika berlawan mulut dengan Danial memang sampai bila-bila dia tidak akan menang.

    "Apa-apa je lah Dan! Makanan pun dah sampai, daripada aku layan kau yang sel otak tak berapa nak berhubung tu, baik aku menikmati makanan daripada duit kau ni." Airin sudah mencapai sudu dan garfu lalu mula memenuhkan perutnya yang dari tadi berzapin.

  Danial memandang Airin. Dia tersenyum kecil. Perangai Airin memang tak berubah walau sedikit pun. Cuma dia dapat melihat yang Airin sudah semakin sopan dan sifat kewanitaannya juga sudah mula menonjol.

  Airin juga sudah semakin cantik dan kelihatan ayu bertudung. Sejuk matanya memandang Airin. Baginya, biarlah bakal isterinya nanti mempunyai ciri-ciri seperti Airin. Sekurang-kurangnya tidaklah dia akan kebosanan nanti.

    "Woi , yang kau tenung aku macam tu dah kenapa? Kau dah terpesona dengan kecantikan dan keayuan aku ke?" Airin tersedar dengan renungan daripada Danial.

    "Ahh kau. Tak payah nak merepek. Makan bagi habis! Kalau tak habis kau bayar sndiri! " Danial cuba menutup kesilapannya tadi.

  Airin menjegilkan matanya kepada Danial.

Selesai menghabiskan makanannya, tiba-tiba Airin bersuara.

    "Dik !"

    "Apa?" Danial memandang Airin.

    "Teman aku tengok wayang jom! Sebenarnya aku datang sini memang nak tengok wayang, tapi last minute tak jadi sebab kawan aku tak jadi datang. Alang-alang kau dah ada ni, temankan lah aku. Plizzz." Airin membuat muka kesiannya.

  Memang itu lah perancangannya. Tetapi sudah terbantut kerana Afina tiba-tiba mahu keluar dating dengan kekasihnya. Maklumlah orang ada kekasih kan. Jika Airin mempunyai kekasih hati juga, sudah lama dia mengajak kekasihnya bersama.

'Alahai. Bila lah boleh jumpa dengan jodoh aku ni. Wahai jodoh di manakah kau berada?'. Sempat lagi Airin madah berhelah di dalam hati.

    "Tengok wayang? Emm. Boleh! Kau belanja!" Pantas sahaja Danial menjawab.

  Dia pun memang keseorangan dan sedang dalam kebosanan yang amat sangat, memang cantik sangat lah bila diajak menonton wayang.

    "Sebab aku nak belanja lah aku ajak kau. Dahla jom!"

  Mereka berjalan beriringan menuju ke panggung wayang. Dari jauh mereka kelihatan persis pasangan kekasih. Sama cantik dan sama padan. Cuma tak sama tinggi.

******************

  Sudah 3 minggu berlalu sejak pertemuan Airin dan Danial tempoh hari.

  Hari ini Airin terasa badannya amat penat. Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Pulang sahaja dari tadika tadi, Airin terus membenamkan dirinya di atas katil.

  Entah apa yang dibuat di tadika hingga dia menjadi begitu penat juga dia tidak tahu. Mujurlah dia mengajar untuk sesi pagi, waktu mengajarnya hanya dari jam 8 pagi hingga jam 1:30 petang. Jadi waktu petang yang ada memang digunakan untuk berehat sepuas-puasnya.

  Azan Asar berkumandang menandakan telah masuk waktu solat. Airin bangun dengan malasnya menuju ke dalam bilik air untuk mngambil wuduk. Selesai sahaja dia mengambil wuduk, dia terus menunaikan solat dengan khusyuknya. Dalam masa 7 minit Airin sudah selesai solat. Bangga juga rasa hatinya apabila dapat menunaikan solat di awal waktu.

Airin melipat telekung dan sejadahnya lalu disimpan.

  Airin mula bergerak turun ke dapur untuk memasak makan malam hari ini, maklumlah hanya dia seorang sahaja yang pulang awal dari tempat kerja. Jadi memang sudah menjadi rutin hariannya untuk memasak makan malam. Hanya sarapan dan hari cuti sahaja Airin tidak perlu melangkah ke dapur kerana kerja-kerja di dapur akan di ambil alih oleh Afina dan Nafisah.

  Belum sempat langkah Airin mencecah anak tangga, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Pantas tangannya menyeluk poket seluar tracknya. Samsung Galaxy Note 4 nya itu dikeluarkan. Tertera nama Danial di skrin telefonnya. Skrin hijau disentuh.

    "Assalamualaikum" Danial memberi salam.

    "Waalaikumussalam, ada apa ni? Tiba-tiba je call."

    "Kekcaa, aku nak jumpa kau."

    "Haa? Nak jumpa aku? Nak buat apa?" Airin kehairanan.

    "Kau jangan lah banyak tanya. Aku nak cerita something dekat kau ni. Kau pergi siap cepat. Lagi 20 minit aku smpai."

    "Eh..." belum sempat Airin menghabiskan kata-katanya, talian sudah pun dimatikan.

'Eish, budak ni! Suka hati dia je'

Airin mendengus geram. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Pantas tangannya mendail nombor telefon Afina.

    "Hello, Naa"

    "Haa, kenapa?"

    "Aku tak masak tau harini. Kau belilah makanan nanti masa balik. Belikan untuk Pica sekali. Aku nak keluar."

    "Haa? Kau nak keluar pergi mana?"

    "Aku nak keluar dengan Danial. Dia tiba-tiba je call aku kata nak jumpa. Ada something dia nak cerita katanya. Aku balik lambat kot. So tak payah beli makanan untuk aku. Kau beli untuk korang je."

    "Ohh, yela. Okey. Jangan balik lambat sangat. Jaga diri. Bye"

    "Bye." Talian dimatikan.

Laju sahaja kaki Airin masuk ke dalam bilik untuk bersiap.

****************

Sudah 30 minit Airin berada di dalam kereta bersama Danial. Hendak pergi ke mana pun dia tidak tahu.

Apabila disoal, sepatah haram pun tidak dijawab oleh Danial. Airin dapat mengesan riak wajah Danial agak lain hari ini. Mungkin anginnya tidak berapa baik . Jadi Airin membuat keputusan untuk terus membatukan dirinya di tempat duduk itu tanpa banyk soal.

Enjin kereta dimatikan. Rupanya Danial membawa Airin ke sebuah tasik. Airin tidak tahu pula tasik ini wujud. Maklumlah, dia belum fasih lagi jalan-jalan di Kuala Lumpur ini.

Airin hanya mengikuti Danial yang berjalan di hadapannya. Sampai sahaja di sebuah bangku di tepi tasik itu, Danial melabuhkan punggungnya.

Danial menepuk-nepuk bangku itu memberi tanda supaya Airin duduk di sebelahnya. Tanpa banyak soal, Airin hanya menurut.

Sudah 5 minit mereka duduk diam begitu. Satu suara pun tidak terkeluar dari mulot masing-masing. Airin mulai berasa janggal. Baru sahaja Airin mahu membuka mulut, tiba-tiba Danial mengeluarkan telefon pintar jenama iPhone 6 nya itu dari poket seluarnya.Danial menghulurkan telefon bimbitnya itu kepada Airin.

Airin terkedu. Dia mengambil telefon bimbit Danial. Dia dapat melihat pada skrin telefon itu tertera gambar seorang wanita berkulit putih langsing memakai dress paras lutut sedang berdiri sambil tersenyum lebar.

Orangnya memang cantik. Rambutnya pula beralun dan berwarna sedikit keperangan. Tetapi ada satu sahaja yang tidak kena, perempuan di dalam gambar itu memang seksi melampau.

Dress yang dipakainya itu sangat ketat. Pada bahagian dadanya pula hanya tertutup bahagian bawah. Bahagian atasnya memang terserlah kulit putihnya itu, jika ditarik sedikit memang nampak lah segala benda yang tidak patut.

Hati Airin mula berteka-teki. Macam mana gambar perempuan ini boleh berada di dalam telefon bimbit Danial.

    "Cantik tak?" Tiba-tiba Danial menyoal.

    "Cantik. Siapa ni?" Soal Airin pula, ingin tahu apa yang sebenarnya cuba disampaikan oleh Danial.

    "Tunang aku." Perlahan sahaja Danial bersuara.

    "Ohh. Ni la tunang kau yang kau cerita hari tu ea? Kenapa kau tunjuk gambar dia dekat aku?" Airin bertanya lagi.

Danial memandang wajah Airin.
Airin agak terkejut, dia tidak dapat mentafsirkan pandangan itu. Tiba-tiba ada setitis air jernih muncul di kelopak mata Danial.

    "Eh. Danial, kenapa ni? Kenapa dengan kau?" Airin sudah agak gelisah dengan perlakuan Danial.

Danial menekup mukanya dengan tangan dan membongkokkan badannya. Teresak-esak dia menangis. Bunyi esakannya memang jelas kedengaran di telinga Airin.

Airin mulai gelisah.

    "Dik, kenapa ni? Cerita lah dekat aku. Kenapa kau menangis ni?"

Dalam esakan tangisan itu, Danial menjawab.

    "Dia.. Dia.. Dia dah putuskan pertunangan kami.." Danial masih menutup mukanya. Esakannya semakin bertambah.

    "Haa? Bila?" Airin sedikit terkejut.

    "Se.. Se...semalam dia call. Cakap nak putuss.. Di.. Dia kata sebab dia dah jum..jumpa dato..yang..yang boleh bagi di..dia macam-macam...." Esakan Danial semakin menjadi-jadi.

    "Astaghfirullahalazim. Lailahaillallah." Airin mengucap panjang.

Dasar perempuan murahan. Airin sudah mula panas hati.

Airin menepuk-nepuk belakang badan Danial untuk menenangkannya.

     "Danial, aku ni tak lah baik sangat. Tapi sebab aku ni kakak kau, kau dengar ni aku cakap. Kau tahu tak, membazir je kau menangis untuk perempuan macam tu."

    "Ta.. Ta.. Tapi aku sayang dia" pantas sahaja Danial menjawab.

    "Memang lah kau sayang dia. Tapi dia sayang kau ke? Dik, kalau dia sayangkan kau. Dia tak akan buat kau macam ni tau tak. Nampak sangat selama ni dia tak ikhlas dengan kau. Dia cuma nak kikis duit kau je la dik oi. Sedarlah. Sebab tu dia cari entah dato' gatal mana entah tu."

Airin diam sebentar. Kemudian dia meneruskan kata-katanya.

    "Danial, jujur lah aku cakap. Aku tengok gambar je aku dah tak berkenan dengan perempuan tu. Dengan tak cukup kainnya. Dedah sana,dedah sini. Lepastu suka nak menghabiskan harta orang. Harta tu tak menjamin kebahagiaan pun. Perempuan macam ni ke kau nak jadikan isteri? Danial, nak cari isteri, kau cari lah perempuan yang boleh jaga makan minum kau, yang boleh didik anak-anak kau nanti. Takkan kau nak isteri yang asyik menambah dosa kau sebab dedah aurat sana sinikan? Fikir baik-baik dik. Dia dah minta putus tu memang ada hikmah disebaliknya lah tu. Mungkin Allah nak selamatkan kau daripada terkahwin dengan dia. Bersyukur lah sebab kau dah tak akan jadi mangsa pisau cukur tu lagi."

Panjang lebar Airin berceramah. Bukannya apa, dia geram juga dengan perempuan itu.

Danial sudah mengangkat kepalanya. Pandangannya kini hanya terarah pada tasik dihadapannya itu. Airin mencapai sehelai sapu tangan yang berada di dalam tas tangannya.

    "Nah! Laplah air mata tu. Tak macho lah nanti orang nampak. Hilang handsome tu nanti." Airin menghulurkan sapu tangannya. Danial menyambut dan mengelap mukanya yang sudah basah itu.

    "Alahai, perempuan tu pun satu. Dah dapat yang betul-betul sayang boleh dia tinggalkan macam tu je. Rugi-rugi. Cari sangat dengan harta dunia tu. Hish. Geram pula aku. Kalau aku jumpa perempuan tu, memang aku ceramah dia cukup-cukup. Tak pun aku piyat-piyat telinga dia, aku picit-picit dia lepastu lempar dalam tasik ni. Biar pupus dari bimasakti ni! " Airin membebel sendirian.

Danial tergelak kecil.

    "Asal kau gelak?" Airin kehairanan.

Tadi bukan main menangis macam budak-budak 3 tahun tak dapat aiskrim. Ni boleh pula gelak. Memang pelik lah adiknya yang seorang ini..

    "Janganlah ganas sangat kot ya pun." Danial bersuara.

    "Mana tak nya. Dia dah buat adik kesayangan aku menangis tau. Jatuh saham dia. Macam mana nak naikkan balik ni. Hish!" Airin menunjukkan muka geramnya sambil tangannya mengepal penumbuk.

    "Hahaha. Kau ni lawak lah kak. Muka geram pun comel lagi. Haha. Kalau macam tu, apa kata kau je yang kahwin dengan aku?"

Airin sudah terkedu dengan soalan itu. Danial hanya memandang wajah Airin. Riak wajahnya tenang sahaja.

    "Haa?" Itu sahaja tindak balas yang keluar dari mulut Airin.

Danial tersenyum manis dan bangun dari tempat duduknya.

Airin masih terpinga-pinga.

'Betul ke apa yang aku dengar ni? Dia main-main je kot. Tapi kenapa muka dia nampak macam dia cakap ikhlas?' Airin sudah terkelu.

    "Kekcaa, jomlah. Takkan nak duduk situ je." Danial memanggil Airin.

Airin menoleh.

    "Nak pergi mana?"

    "Aku nak belanja kau makan lah. Kan kau dah pujuk aku." Danial melemparkan senyumannya.

Airin juga tersenyum. Segera dia menuju ke arah Danial. Tetapi di dalam hatinya itu,dia masih keliru dengan kata-kata Danial sebentar tadi.

'Ahh.. Lupakan je lah. Budak ni otak bukan betul sangat. Dia main cakap je apa yang dia nak cakap' Airin cuba menenangkan dirinya sendiri.

********************

Sudah 2 malam Airin susah untuk tidur. Masih terngiang-ngiang di pelupuk telinganya akan kata-kata Danial yang memang menusuk hati hingga ke tulung rusuknya.

'Apa kata kau je yang kahwin dengan aku?'
Ayatnya ringkas sahaja. Tetapi tidak tahu mengapa, Airin dapat merasakan bahawa kata-katanya itu benar-benar ikhlas.

Airin cuba juga untuk melelapkan matanya, namun mesti akan terbuka semula. Matanya menjeling ke arah jam digital yang berada di sebelah katilnya. Jam sudah menunjukkan pukul 1:30 pagi. Airin menggolek-golekkan badannya di atas katil bersaiz 'queen' itu.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Dicapai telefon bimbit yang diletakkan di sebelah katilnya itu dan melihat siapakah gerangan pemanggil yang menelefonnya awal-awal pagi ini. Airin tersenyum.
Pantas Airin menekan skrin hijau.

    "Assalamualaikum." perlahan sahaja suara yang berada di hujung talian.

    "Waalaikumussalam, haa. Kau nak apa pagi-pagi buta call anak dara orang ni?" Sengaja Airin menguatkan suaranya.

    "Wei, janganlah nak marah-marah. Kau dah tidur ke? Tak apa lah. Kau pergi lah sambung tidur sana." Kedengaran suara Danial sedikit kecewa.

    "Eh.. Kejap-kejap. Hahaha. Rilekslah. Aku sengaja je. Aku belum tidur lagi lah. Entah kenapa sekarang ni aku susah nak tidur. Kebetulan aku baru teringat dekat kau,tiba-tiba kau call pula. Panjang umur kau dik oii."

    "Haa? Kau teringat dekat aku? Kenapa? Kau rindu aku lah tu." Danial mula menyakat.

    "A'ahh. Aku rindu kau. Aku rindu bau perfume kau. Aku rindu suara kau. Semua lah aku rindu." Airin sengaja berkata begitu.

'Nak kenakan aku konon. Hahaha.'

Di hujung talian, Danial sudah terkedu. Dia tidak tahu mengapa, dia memang tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya menjadi kelu. Degup jantungnya semakin laju. Ada sesuatu yang sudah merentap jiwa dan perasaannya kini.

    "Woi, dik. Kau dah tidur ke? Asal senyap je ni?"

Kata-kata Airin menyedarkan Danial. Perasaan apakah ini.

     "Eh. Tak ada lah." itu sahaja yang mampu dijawab oleh Danial buat masa ini.

     "Haa. Kau nak apa sebenarnya call aku pagi-pagi ni?"

    "Macam ni. Sebenarnya...." Danial terhenti. Dia tidak tahu mengapa selepas dia mendengar kata-kata Airin tadi, lidahnya terus menjadi kelu. Susah untuk berkata.

    "Sebenarnya apa?" Airin menjadi hairan.

    "Ni. Sebenarnya, aku nak cakap terima kasih dekat kau."

    "Terima kasih? Untuk apa?" Airin bertambah hairan.

Entah kenapa dengan adiknya hari ini. Demam ke? Tak pernah-pernah nak cakap terima kasih. Pagi-pagi buta pula.

    "Terima kasih. Sebab kau sanggup jadi pendengar setia aku haritu. Sanggup temankan aku. Sanggup dengar cerita aku. Lepastu bagi nasihat dekat aku. Kau tahu kan, dekat sini aku ada kau seorang je kak, nak buat tempat mengadu. Ibu dengan Abah jauh. Abang-abang mana lah nak dengar cerita aku ni. Kau seorang je yang ada. Terima kasih ea."

Airin tersenyum. Dia rasa sangat terharu. Dia amat faham situasi yang dilalui Danial kini.

Semasa dia baru-baru berpindah ke Kuala Lumpur , dia juga merasa perkara yang sama. Mujurlah ada Afina dan Nafisah, mereka sahaja lah tempat Airin mengadu.

    "Alaa. Perkara kecil je lah. Lagipun kau tu kan adik aku. Aku dah hadap dulu dah perkara yang jadi dekat kau ni. Aku dah makan garam dulu dik. Yang penting, kau kena kuatkan semangat kau. Dekat Kuala Lumpur ni, ada banyak lagi ujian yang akan datang tau. Kalau kau ada masalah apa-apa, aku sentiasa ada untuk kau. Cari je aku. Aku nak kau kuat dik. Jangan mengalah. Aku sentiasa sokong kau dari belakang. In shaa Allah. Untuk selama-lamanya aku akan jadi orang kuat kau dari belakang okey?"

    "Thanks kekcaa. Betul ke kau nak jadi orang kuat aku selama-lamanya?" Danial menyoal.

    "In shaa Allah, aku cuba dik."

    "Kau tunggu. Nanti aku tuntut."

Airin kehairanan.
    "Tunggu? Tuntut? Apa dia ni?"

    "Eh, tak ada apa-apa. Dah lah pergi tidur. Dah lewat ni. Kau esok nak mengajar kan. Nanti mengantuk pula. Sweetdream dear. Bye. "

    "Haha. Caring juga kau dekat aku ea? Yela. Sweetdream jugak. Bye. Good night." Airin tertawa kecil.

    "Good night sayang". Talian dimatikan.

Airin terpana. Perlahan sahaja ayat itu dituturkan, tetapi masih jelas di telinga Airin. Dia yakin dia masih belum pekak untuk tersalah dengar.

Perasaan aneh mula menyelubungi jiwa, hati dan perasaannya. Dalam perasaan yang berbelah bahagi dan berteka-teki itu, akhirnya Airin terlena juga.

*********************

Sudah 6 bulan lebih Danial menghilangkan diri. Batang hidung pun tidak nampak. Airin menjadi serba salah, dia tidak tahu jika dia ada buat silap dengan Danial.

Beratus-ratus kali Airin menghubungi Danial, beribu-ribu kali juga dia menghantar pesanan melaui SMS ,Facebook, Wechat, What's App, malah surat juga telah dihantar. Namun tiada satu pun yang dibalas.

Airin mulai bingung. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya lagi. Hidupnya kini serba-serbi tidak kena. Dia terlalu rindukan Danial. Dia tidak mahu kehilangan Danial buat kali kedua.

Airin sudah mula menjadi tidak terurus. Makan dan minumnya sudah tidak terjaga. Dia juga kerap demam. Malah sudah berpuluh kali dia pengsan dan dimasukkan ke dlm hospital.

Afina dan Nafisah tidak tahu mahu memberi nasihat apa lagi kepada Airin. Semua nasihat yang diberikan umpama masuk telinga kanan,keluar telinga kiri. Airin juga sudah berhenti bekerja.

Airin bagaikan tersiksa dengan kehilangan Danial kali ini. Airin baru tersedar bahawa dia sudah jatuh sayang pada Danial. Bukan sebagai adik angkat, malah lebih daripada itu. Dia juga sudah mula jatuh cinta pada Danial.

Setiap hari, aktiviti Airin hanya terperap di dalam bilik dan menangis. Jika dia keluar pun, dia hanya pergi ke tasik yang dibawa Danial dahulu. Tujuannya hanya satu, untuk mencari Danial. Namun bayang-bayangnya juga tidak muncul.

Airin semakin lama, semakin lemah. Jiwanya terasa bagai dirobek dan dicarik. Dia memang tidak dapat menahan perasaan rindunya ini. Dia terasa bodoh kerana tidak meluahkan perasaannya ini sejak dahulu lagi. Airin semakin tersiksa.

*********************

2 tahun sudah berlalu. Umur Airin juga sudah menginjak 29 tahun. Kehidupannya juga sudah kembali ceria. Airin juga sudah kembali bekerja sebagai guru tadika.

Usia mematangkan dirinya. Dia sudah berhenti berharap pada Danial. Dia tahu, jika dia terus menunggu, dirinya hanya akan lebih tersiksa. Jadi Airin mengambil keputusan untuk meneruskan hari-harinya tanpa nama Danial Ayman lagi di dalam hatinya.

 Hujung minggu lalu, Airin telah dipinang oleh Nizam,seorang guru sekolah menengah di kampungnya.
Itupun hasil perancangan umi dan ayahnya.

Airin tidak pulang ke kampung semasa majlis peminangan tersebut, atas alasan kerja masih banyak belum disiapkan. Tetapi Airin telah memberitahu uminya bahawa dia menerima pinangan keluarga Nizam itu. Airin sebenarnya hanya ingin melenyapkan Danial dari hatinya. Sebab itulah dia membuat keputusan sedemikian.

Majlis pertunangan Airin dan Nizam akan berlangsung 3 bulan dari sekarang. Namun begitu, Airin tidak merasa apa-apa langsung. Bahagia tidak, gembira tidak, sedih pun tidak. Jiwanya seolah-olah kosong.

****************

Entah apa yang membuatkan dirinya ke sini, dia pun tidak tahu. Petang itu, dia terasa ingin benar ke tasik yang memberi seribu kenangan pada dirinya. Pantas kunci kereta dicapai dan kereta jenis Nissan Almera itu membawa dirinya ke kawasan tasik tersebut.

Tasik itu tidak pernah berubah. Pantas Airin melangkah menuju ke arah bangku yang menjadi kenangannya bersama Danial 2 tahun yang lepas.

Sebaik sahaja punggungnya dihenyak ke atas bangku tersebut, pandangannya teralih ke arah tasik. Tidak ramai orang yang berada di sini. Mungkin kerana kedudukannya yang agak jauh dari tumpuan orang ramai. Jadi suasana di sini sentiasa tenang.

Secara tiba-tiba, setitis demi setitis air jernih mula membasahi pipi gebu Airin. Segala yang dipendam selama ini segera diluahkan melalui air mata. Teresak-esak dia menangis. Tangannya ditekupkan ke muka.

    "Kau pergi mana.. Aku sa.. sayang kau.. Aku.. Aku.. cintakan kau." dalam tangis esakan itu, Airin berkata-kata. Mukanya masih ditekup.

Tiba-tiba Airin dapat merasakan seperti ada seseorang duduk disebelahnya. Namun Airin tidak mempedulikannya. Dia masih meneruskan tangisan dan esakannya. Dia mahu melepaskan segala yg berada di dalam hatinya selama ini.

    "Kan aku suruh kau tunggu aku. Kenapa kau tak tunggu? Nasib baik aku dapat batalkan pertunangan kau. Tu pun sebab si Nizam tu sebenarnya dah ada kekasih. Kalau tak,aku nak kahwin dengan siapa? Kau ni degil la." Manusia yang berada di sebelah Airin tiba-tiba bersuara.

Tangisan Airin terhenti. Dia sangat mengenali suara ini. Malah bau perfume yang dipakainya juga sangat dikenali oleh Airin.

Pantas Airin mengangkat mukanya dan memandang wajah manusia yang berada di sebelahnya.

Danial hanya tersenyum. Dia menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan sehelai sapu tangan. Sapu tangan itu merupakan sapu tangan pemberian Airin ketika Danial menangis 2 tahun lepas.

    "Kenapa menangis ni sayang? Dah tak comel lah nanti bakal isteri abang ni. Hilanglah cantik dia nanti. Nah, lap air mata tu."

Airin hilang kata-kata. Air matanya masih menitis. Tangannya menggeletar menyambut sapu tangan yang diberikan.

Danial hanya tersenyum manis. Sebenarnya dia juga sedih melihat Airin dalam keadaan begini. Kerana dirinya, Airin menangis. Dia sudah mengetahui segala yang pernah terjadi pada Airin semasa dia menghilangkan diri dahulu. Bodoh sungguh rasa diri ini kerana meninggalkan Airin begitu sahaja.

Dia berada di sini pun berdasarkan segala informasi dan cerita yang diberitahu oleh Afina. Terima kasih juga kepada Afina, kerana telah  membantunya membatalkan majlis pertunangan Airin. Kalau tidak, selama-lamanya hidup Danial akan diselubungi kekesalan.

    "Kau pergi mana? Kenapa kau pergi tiba-tiba? Aku ada buat salah dekat kau ke? Kenapa lepas kau tinggalkan aku,kau muncul balik?" Air mata Airin kembali mengalir.

Memang itulah persoalan yang sentiasa berlegar di dalam hatinya semenjak kehilangan Danial.

Danial menjadi serba-salah.

     "Tak sayang. Kau tak ada buat salah apa-apa pun. Aku minta maaf. Sebenarnya aku pergi belajar agama dekat Kedah. Aku nak jadi baik. Aku nak jadi imam dunia akhirat kau. Sebab tu aku mendalami agama Islam. Aku minta maaf sebab tinggalkan kau tanpa cakap apa-apa. Aku takut. Aku takut kau anggap aku sebagai adik angkat je. Tak lebih dari tu. Aku minta maaf. Aku muncul semula juga bersebab."

    "Apa sebabnya?" Airin bertanya perlahan.

    "Kan kau pernah janji dengan aku, untuk sentiasa jadi orang kuat  yang akan selalu sokong aku dari belakang. Kau pun pernah cakap selama-lamanya kau akan cuba jadi tulang belakang aku. Ingat tak? Jadi harini aku nak tuntut janji kau sayang."

    "Apa maksud kau ni? Aku tak faham." Airin mengesat air matanya.

     "Tak ada cara lain untuk tunaikan janji awak pada saya sayang. Airin Danisya Zamri, sudi tak awak jadi suri hati saya dan ibu kepada anak-anak saya. Saya nak bimbing awak. Saya nak awaklah yang akan menjadi bidadari saya di akhirat kelak." Danial mengeluarkan sebutir cincin permata dari poket seluarnya.

Lidah Airin menjadi kelu. Dia hanya mampu menitiskan air matanya sahaja buat masa ini. Tangannya menggeletar mengambil cincin tersebut. Airin menyarungkan cincin itu ke jari manisnya.

    "Te.. Te.. Terima kasih." Itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Airin.

    "Tak payah terima kasih lah sayang. Sayangkan bakal isteri abang. Oh, abang lupa nak cakap yang majlis pertunangan sayang tu akan digantikan dengan majlis pernikahan kita." Tenang sahaja Danial berkata-kata.

    "Haa? Betul ke ni?" Airin seakan tidak percaya.

    "Ye sayang." ringkas Danial menjawab.

'Terima kasih Ya Allah. Kau menjawab doa-doa ku selama ini. Bersyukur aku ke atas mu tidak terhingga. Alhamdulillah, kau telah pertemukan kembali aku dengan bakal imamku. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih. '
Airin tidak henti-henti bermunajat di dalam hati.

***********************

    "Aku terima nikahnya Airin Danisya binti Zamri dengan mas kahwinnya senaskhah Al-Quran tunai."

Dengan sekali lafaz sahaja, Airin sudah sah bergelar isteri kepada Danial Ayman. Hanya air mata sahaja yang menitis tidak henti di pipi Airin. Tidak ada kata-kata yang mampu diungkapkan ketika ini.

Betapa bersyukurnya rasa hatinya kini. Sesungguhnya, kesabaran dan penantiannya selama ini sememangnya berbaloi.

Selesai sahaja majlis akad nikah, Danial bermesra dan bertegur sapa bersama para tetamu dan saudara-mara.

Selepas diperhatikan tetamu mulai beransur pulang, Danial pantas menarik tangan Airin dan membawanya masuk ke dalam bilik. Terjerit kecil Airin apabila diperlakukan sebegitu.

Sampai sahaja di dalam bilik, Airin mulai merungut.

    "Apa ni dik, tarik-tarik tangan orang macam ni. Ajak elok-elok kan boleh!"

Danial tersenyum kecil. Dia mula mendekati Airin. Airin melangkah setapak demi setapak ke belakang hingga tubuhnya terlanggar pintu bilik. Sudah tidak ada ruang lagi untuk Airin melepaskan diri.

Danial semakin mendekati, sehingga jarak mereka berdua hanya tinggal 1 inci sahaja. Danial mula tersenyum nakal. Kelakar juga apabila melihat muka gelabah Airin begitu. Pantas tangan Danial mengunci pintu bilik tersebut.

Riak muka Airin semakin gelabah.

    "Apa ni dik! , tak aa.." Belum sempat Airin menghabiskan kata-katanya, Danial sudah mendaratkan jari telunjuknya pada bibir Airin.

    "Dah dua kali dah abang dengar sayang panggil abang guna 'adik'.  Danisya sayang, awak lupa ke yang abang ni suami sayang? Abang rasa sayang tak ada lah tua sangat daripada abang. Takkan dah nyanyuk?"

Danisya? Airin agak tersentak dengan panggilan itu. Memang Airin sudah berangan bahawa nama  panggilan Danisya itu hanya akan dikhaskan untuk suaminya sahaja. Oleh sebab itu lah Airin memang pantang apabila orang lain cuba memanggilnya Danisya.

Pantas Airin menolak tubuh tegap Danial. Lengan Danial ditarik dan dicubitnya. Danial mengaduh kesakitan.

    "Kalau tak suka dapat isteri nyanyuk, jangan kahwin dengan orang tua." Airin berpura-pura merajuk. Laju Airin melangkah ke arah ruang balkoni bilik.

Danial terkesima.
'Eh, sejak bila isteri aku pandai sentap ni? Aku rasa dulu dia hati kering. Takkan acah sikit dah nak merajuk. Aduhai.'

Danial sudah kematian akal. Lalu Danial mengambil keputusan untuk memujuk Airin.

Danial berjalan mendekati Airin yang sedang berdiri di ruang balkoni. Perlahan-lahan Danial melingkarkan tangannya pada pinggang Airin dan mendakapnya dari belakang.

Airin tersenyum kecil.

    "Alaa sayang, abang minta maaf okey? Tua mana pun sayang, sayang tetap isteri abg. Sayang tetap cantik di mata abang. Lagipun sayang nampak lagi muda dari abang. Ramai orang salah sangka umur kita kan? Kita beza pun tak jauh . 2 tahun je kan. Lagipun umur bukannya faktor kebahagiaan. Sama macam Ayu Raudhah dengan Zaquan Adha. Bahagia je diaorang abang tengok. Kita jadi macam diaorang okey?" Danial mengucup perlahan kepala Airin.

    "Eley. Budak kecil ni. Macam ni ke cara nak pujuk orang dik?" Airin gelak besar.

    "Tengok tu. Adik lagi!" Danial memuncungkan bibirnya.

Airin makin galak ketawa melihat keletah Danial. Serupa macam budak-budak.

"Mestilah kena panggil adik, tengok tu perangai macam budak-budak. Lagipun kan awak memang adik saya kan budak? Dengar cakap kakak ok!"

Pantas lengan sasa Danial menarik Airin kepada dirinya dan direbahkan tubuhnya ke atas katil. Kini kedudukan Airin berada di atas tubuh tegap Danial.

Danial tersenyum.

    "Panggillah adik lagi. Nak tengok tak adik boleh buat apa dekat kakak?"

Airin sudah mulai gelabah.

    "Ye ye. Okey. 'ABANG' Danial. Lepaslah."

    "Tak nak. Cium dulu cepat!" Danial semakin menarik Airin ke dalam dakapannya.

    "Okey. Lepaskan dulu." Airin meronta minta dilepaskan.

Danial melepaskan Airin.

Airin menarik tangan Danial supaya bangun dari pembaringannya. Airin mengenggam erat tangan Danial.

Danial hanya menunggu apa yang bakal berlaku seterusnya.

Airin mencium tangan suaminya.

    "Terima kasih abang, sebab sudi ambil kakak angkat abang sendiri untuk dijadikan isteri. Isyaa tak boleh nak janji apa-apa. Tapi Inshaa Allah, Isyaa akan selalu ada disamping abang, jadi tulang belakang abang, susah senang dengan abang dan Isyaa akan cuba sedaya upaya Isyaa untuk bahagiakan abang dan anak-anak kita nanti."

Danial tersenyum bahagia. Dia sudah tidak mampu untuk berkata-kata saat ini.

Airin bangun dan mengucup perlahan pipi suaminya.

    "Ni hadiah untuk adik kesayangan merangkap suami kesayangan." Airin melemparkan senyuman manisnya.

Kemudian Airin segera melangkah keluar dari bilik untuk pergi ke ruang tamu.

Tinggallah Danial sahaja di dalam bilik. Kegembiraannya kini memang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Benarlah, kalau sudah jodoh tak kemana. Usia, pangkat dan harta langsung tidak menjadi penghalang. Cinta juga datang secara tiba-tiba tanpa disangka.

Danial berjanji pada dirinya, bahawa dia akan sedaya upaya membahagiakan Airin. Kerana Airin merupakan tulang rusuk kirinya yang hilang selama ini, dan tidak akan sekali-kali dia menjauhkan sebahagian dari dirinya itu buat kali kedua. Itu janjinya. Inshaa Allah.


******** THE END **********


P/S : Cerpen ni merupakan cubaan pertama saya. Saya tak pernah menulis sebarang cerpen sebelum ni dan saya langsung tiada pengalaman. Segala kesalahan ejaan dan tatabahasa, saya minta maaf sangat-sangat. Bantu saya untuk improve lagi lepasni.
Segala kesalahan saya mohon diberikan teguran. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca cerpen saya yang tak seberapa ini. :)

No comments:

Post a Comment